ALOR SETAR: Makmal diagnosis milik Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi), Naka Biolife Sdn. Bhd. (Naka Biolife) melakukan ujian saringan mengesan bakteria Salmonella dan E. Coli di kilang memproses ayamnya di Simpang Empat Kangkong di sini hari ini.
Pemeriksaan rutin berlangsung sejam setengah itu diketuai oleh ahli penyelidik mikrobiologi Naka Biolife Sdn. Bhd., Ts. Isma Syahril Ismail bersama pasukan makmalnya yang terletak di Pokok Sena.
Menurut Isma Syahril, pengambilan sampel untuk didiagnosis bagi mengesan bakteria itu dilakukan dua hingga tiga kali sebulan di premis berkenaan.โ
โProsedurnya hari ini makmal mengambil sampel cecair di Kilang Memproses bermula dari tempat ayam disembelih sehingga ayam diproses dan sampel calitan juga diambil di spot yang penting di kilang berkenaan seperti meja pembungkusan. Sekurang-kurangnya 10 spot diambil sampel cecair dan dilakukan calitan hari ini.
โSampel yang diambil dan dibawa ke makmal untuk didiagnos bagi mengesan sebarang kehadiran bakteria itu,โ katanya ketika ditemui selepas pemeriksaan itu.
Menurut Isma Syahril, ujian sampel turut dijalankan ke atas patogen untuk produk yang siap diproses di kilang berkenaan.
โProduk terakhir seperti Ayam Segar Beku (FFC) juga akan saya bawa pulang ke makmal untuk didiagnos,โ katanya.
Jelas beliau, proses diagnosis itu hanya mengambil masa kurang 24 minit untuk diperoleh keputusannya.โ
โE. coli dan salmonella adalah bakteria yang boleh menyebabkan keracunan makanan. E. Coli boleh merebak daripada haiwan yang dijangkiti sementara Salmonella daripada ayam mentah.
โSetakat ini makmal tidak mengesan kehadiran sebarang bakteria di kilang ini walaupun sampel yang diambil di bahagian penyembelihan terdapat kandungan bakteria namun di peringkat akhir proses makmal mengesan tiada sebarang bakteria,โ katanya.
Jelasnya, selain di kilang pasukan makmal juga akan melakukan ujian calitan ke atas ternakan di ladang Ayam Bismi hari ini.
Katanya, ujian berkenaan merupakan antara peranan utama makmal untuk memastikan semua produk dihasilkan bukan sahaja bersih tetapi selamat dimakan oleh pelanggan.
โKilang Ayam Bismi mempunyai Perakuan MeSTI dari Kementerian Kesihatan Malaysia bahagian Kualiti Makanan, ini bermakna kilang berkenaan dikehendaki mematuhi prosedur amalan perkilangan baik dan bersih.
โNamun apa yang paling penting adalah untuk memastikan ayam dan produk ayam yang kilang Ayam Bismi bersih dan selamat dimakan,โ katanya.
Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi) adalah sebuah syarikat milikan bumiputera yang menekankan konsep halal 100 peratus kepada ternakan, sembelihan dan pengedaran produk.
Bismi Empire Sdn. Bhd. turut mempunyai empat anak syarikatnya iaitu, Bismi Cergas Sdn. Bhd. yang menjalankan aktiviti penternakan, Ayam Bismi Sdn. Bhd. (pemprosesan dan pemasaran), Naka Biolife Sdn. Bhd., (mengendali makmal diagnosis) dan Ayam Bismi Food Sdn. Bhd.(pemprosesan produk hiliran).