ALOR SETAR: Jabatan Kesihatan Negeri Kedah hari ini melakukan lawatan pemantauan Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) di kilang memproses Ayam Bismi di Simpang Empat Kangkong di sini hari ini.β
Menurut Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr. Mohd. Khairuddin Mohd. Talib, lawatan juga bertujuan membincangkan tentang prospek masa depan yang mampu diterajui syarikat penternakan, pemprosesan dan pengedaran ayam milik bumiputera ini.
βIni adalah pemantauan berkala kerana Ayam Bismi memperoleh pengiktirafan MeSTI. Hasil pemantauan mendapati semuanya memuaskan.
βMalah Ayam Bismi mempunyai prospek yang lebih baik untuk mengembangkan bisnes bagi memperoleh pengiktirafan Good Manufacturing Practice (GMP) pula,β katanya di sini hari ini.
Lawatan tersebut dihadiri Presiden Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi), Haji Jaffri Ahmad; Pengarah Urusannya, Hajah Mazlina Kamarudin; Pengurus Besar syarikat, Azli Saat dan Pengarah Urusan Ayam Bismi Food Sdn. Bhd., Ilia Hanati Jaffri.
Menurut Dr. Mohd. Khairuddin, Ayam Bismi merupakan salah satu daripada 28 syarikat yang terpilih untuk menerima pelawaan Kementerian Kesihatan bagi menghantar permohonan mendapatkan GMP.
Selain sesi penerangan Dr. Mohd. Khairuddin juga melawat operasi dan kemudahan kilang memproses ayam bersama pengurusan tertinggi syarikat berkenaan.
Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi) adalah sebuah syarikat milikan bumiputera yang menekankan konsep halal 100 peratus kepada ternakan, sembelihan dan pengedaran produk.
Bismi Empire Sdn. Bhd. turut mempunyai empat anak syarikatnya iaitu, Bismi Cergas Sdn. Bhd. yang menjalankan aktiviti penternakan, Ayam Bismi Sdn. Bhd. (pemprosesan dan pemasaran), Naka Biolife Sdn. Bhd., (mengendali makmal diagnosis) dan Ayam Bismi Food Sdn. Bhd.(pemprosesan produk hiliran).