KUALA NERANG: Jone Lemon, itu gelaran popular dalam kalangan mereka yang mengenalinya.
Seperti nama jolokan itu, apa yang diinginkan pemilik nama sebenar Zulkhairi Kassim, 55, ini adalah menjadikan bumi jelapang padi ini kaya dengan tanaman lemon.
Walaupun laluan itu sukar melihat kepada persaingan dengan lemon yang diimport dari luar negara namun anak jati dari Alor Setar ini tegar.
Sekurang-kurangnya langkah pertama Jone lancar apabila keinginannya untuk mewujudkan sebuah ladang lemon direalisasikan penuh semangat secara kerjasama dengan Pengasas dan Presiden Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi) Haji Jaffri Ahmad dan Pengarah Urusannya, Hajah Mazlina Kamarudin.
Ambisi Jone sebenarnya yang menarik perhatian kedua-dua tokoh korporat dalam sektor ternakan, pemprosesan dan ternakan ayam ini secara usahasama menyediakan sebidang tanah seluas 17 relung bagi projek tanaman lemon itu sejak tahun lepas.
Siapa sangka berkat usaha gigihnya, kini terdapat lebih 1,500 pokok lemon di ladang yang dinamakan Hannanis Agrotech di Kampung Baru Lubuk Labi di sini yang terdiri daripada 15 varieti lemon dari seluruh dunia termasuk Itali, Afrika Selatan, Australia dan Turki.โ
Varieti itu termasuk Eureka, Bhuddaโs Hand, Kamquat, Melbourne, Ponderosa, Mayer, Lisbon, Telur Buaya, Citrus Medica Diamante, Taiwan Perfumes, Iranian Lemon, Lime Quat dan Kerat Lintang.
Setiap varieti mempunyai keunikan tersendiri dan pokoknya mampu berbuah sehingga 500 biji setiap masa, kata Jone.
Apa yang menarik kebanyakan varieti tersebut adalah cukup โrareโ dan ditanam bukan sekadar untuk mendapatkan jus tetapi sebagai pati minyak wangi dan jeruk.
Kata bekas jurutera telekomunikasi ini, kebanyakan varieti itu diperoleh dari luar negara ketika banyak merantau ke negara-negara itu sebelum ini.
Berbudi pada tanah banyak hasilnya, demikian ladang lemon milik Jone kini sudah mulai berbuah dan kata Jone, tanaman lemon di negara ini istimewa kerana hasilnya boleh dituai sepanjang tahun.
Menarik tentang ladang lemon ini selain berpeluang membeli lemon termasuk yang varieti โrareโ itu, pengunjung berpeluang memetik sendiri buah tersebut yang diusahakan bebas daripada sebarang penggunaan racun.
Apabila ditanya tentang pembabitan awalnya, kata Jone, ia berasaskan keinginan untuk menjadi pelopor tanaman lemon di negeri ini.
โLemon ada prospek kalau diusahakan dengan betul dan selain menanam lemon saya juga melakukan R&D untuk tananam ini bagi tempoh jangka panjang,โ katanya.
Jone juga mempunyai sebidang tanah di Derang Pokok Sena yang dijadikan tapak semaian bagi tanaman tersebut.
Hannanis Agrotech yang kini boleh dikunjungi selain menjual buah lemon pada harga RM6 sekilogram turut menjual pokok lemon dari harga RM25 hingga RM35 sepokok.
โ
Memberitahu tentang kelebihan lemon yang diusahanya itu kata Jone, selain tinggi khasiatnya ia juga dijamin selamat kerana amalan tanaman bebas racun itu.
โKalau nak tau lemon yang bebas racun ini sangat wangi kulitnya dan tak macam yang diimport,โ katanya.
Ladang itu kini dibuka dari pukul 8 pagi sehingga 6 petang setiap hari dan setiap kunjungan akan disambut oleh Jone sendiri yang bersedia untuk melayan anda.
โSaya tinggal di ladang ini kerana sepenuh masa saya tumpah untuk projek tanaman lemon ini. Saya percaya tanaman memerlukan perhatian,โ katanya.
Dalam pada itu menurut Hajah Mazlina yang juga merupakan Pengasas Rumah Makan Percuma (RMP), pihaknya tertarik dengan semangat waja yang ditunjukkan oleh Jone menarik perhatian mereka untuk menjalinkan kerjasama.
โKami ada sebidang tanah kosong di kawasan itu dan Jone ada kepakaran tanaman lemon. Tanah daripada terbiar elok diusahakan sesuatu yang bermanfaat.
โApa yang kami harapkan usaha ini membuahkan hasil,โ katanya.