Wujudkan RMP jadi kenangan termanis

ALOR SETAR: Kewujudan Rumah Makan Percuma (RMP) sejak setahun lepas diharapkan dapat menginspirasikan lebih banyak pihak mengikut jejak langkah memberi makanan percuma kepada golongan asnaf dan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Pengasas RMP, Hajah Mazlina Kamarudin yang juga Pengarah Urusan Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi) berkata, pemberian makanan percuma itu selain membantu meringankan beban golongan berkenaan tetapi mampu menceriakan mereka.

“Saya selalu berharap, RMP ini akan beri inspirasi kepada orang lain untuk buat perkara yang sama. Banyak yang dibuang kerja… syarikat tutup… perniagaan tutup… mereka perlu dibantu dan sedekah yang paling baik adalah makanan.​

“Bayangkan kalau lapar, macam mana nak solat… nak buat kerja? Tak perlulah nak sedia sampai 300 atau 400 pek setiap hari. Boleh masak nasi lemak bagi kat jiran yang susah atau bila kita kaya upah orang masak dan agih,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika Sesi Webinar Karnival Kerjaya Dan Usahawan Wanita Peringkat Kedah 2021 yang bertajuk, Kolaborasi Bersama: Peluang Perniagaan Ketika Pandemik, semalam.

Hajah Mazlina berkongsi perkara itu bahawa mewujudkan RMP sebagai kenangan termanis syarikat berkenaan yang sudah 33 tahun berkecimpung dalam bidang penternakan, pemprosesan dan pengedaran ayam serta produk berkaitan bahan itu.

“Di RMP, setiap hari ketika pukul 12 tengah hari orang beratur untuk ambil makanan dan bawa pulang. Saya rasa itu yang ‘menjana’ pahala untuk Ayam Bismi.

“Bukan saya atau suami yang membiayai RMP tetapi Ayam Bismi. Saya malu kalau orang di Simpang Empat ini kelaparan. Kami dikenali seluruh negara tetapi orang tempatan kelaparan. Saya malu,” katanya.

Katanya, setiap hari dari Ahad sehingga Jumaat RMP menyediakan lebih 350 pek makanan dan pihaknya berhasrat untuk menambah pek berkenaan.

RMP yang beroperasi di premis kedai makan berdekatan Pusat Jualan Utama dan Kilang Memproses Ayam Bismi itu diinspirasi oleh Hajah Mazlina dan suami, Haji Jaffri Ahmad yang juga Pengasas Ayam Bismi sebagai rasa prihatin kepada masyarakat setempat terjejas akibat pandemik tahun lepas.

Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi) adalah sebuah syarikat milikan bumiputera yang menekankan konsep halal 100 peratus kepada ternakan, sembelihan dan pengedaran produk.

Ketika ini syarikat berkenaan merupakan satu-satunya syarikat bumiputera yang mempunyai rangkaian kilang bersepadu terbesar di Kedah dengan perolehan lebih RM160 juta, tahun lepas.

Scroll to Top