Vaksinasi : kerajaan perlu beri keutamaan kepada sektor pertanian


ALOR SETAR: Syarikat penternakan, pemprosesan dan pengedaran ayam, Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi) merayu agar kerajaan memberi keutamaan kepada pekerja sektor berkenaan bagi agihan vaksin untuk memastikan kestabilan bekalan makanan negara.

Menurut Pengarah Urusannya, Hajah Mazlina Kamarudin, kepentingan sektor itu tidak wajar diketepikan memandangkan ia juga sektor perkhidmatan perlu yang beroperasi ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Kita dimaklumkan bahawa fasa keempat program imunisasi ini, sektor perkilangan yang berada di kawasan perindustrian akan diberi keutamaan dan akhir sekali baru sektor pertanian dan perladangan. Kita yang berada di sektor pertanian iaitu penternakan ayam sebenarnya penting kerana ini melibatkan perkara asas dalam kehidupan seharian penduduk.

“Kalau kita buka kilang elektronik, kalau tak ada bahan makanan bagaimana? Sebagai yang terlibat dalam sektor pertanian, kita memohon agar diberi keutamaan dalam pemberian vaksin ini,” katanya.

Semalam, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin dalam sidang akhbar mingguannya mengumumkan fasa keempat program berkenaan yang melibatkan sektor perkilangan seterusnya pembinaan, perladangan, peruncitan dan hospitaliti.

Tambah Hajah Mazlina, pemberian vaksin berkenaan juga demi mengekang penularan jangkitan wabak di sektor berkenaan ketika ini.

“Seperti yang kita tahu, terdapat tiga kilang ayam yang melibatkan lebih 800 kes jangkitan. Kalau benda ini terus berlaku seperti di kilang berkenaan akan menyebabkan lambakan. Contoh, ayam hidup tak boleh masuk kilang, terpaksa dibawa ke pasaran sehingga harga jatuh dan begitu anak ayam tidak boleh dibawa keluar jadi turut menyebabkan harga jatuh,” katanya.

Tambahnya, untuk jangka masa panjang keadaan ini bukan sahaja memperjudikan pengusaha sektor berkenaan malah bekalan makanan untuk pasaran tempatan selain meningkatkan import bahan itu.

“Kita bimbang kacau bilau industri pertanian ini dan adalah amat tidak sihat untuk jangka panjang. Kita perlukan kestabilan dalam industri pertanian kalau tak ada jaminan makanan terpaksa bergantung kepada import sedangkan negara luar pun adalah masalah pandemik.

“Sektor makanan adalah penting termasuk kilang beras, ayam, ikan dan sayur. Kalau kita tengok negara jiran pun ada krisis Covid-19 untuk kita bergantung sepenuhnya bagi import,” kata beliau.

Jelas beliau, pihaknya bersedia mengeluarkan peruntukan bagi menampung kos vaksin tersebut kepada setiap pekerja mengikut harga ditetapkan kerajaan.

“Syarikat menghantar permohonan tersebut pada 6 Jun lepas kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan lanjut lanjut dan berharap agar ia diluluskan dengan segera memandangkan jangkitan Covid-19 di sektor ini,” katanya.
 
 
Scroll to Top