Team Ayam Bismi meriahkan pembukaan cawangan baharu premis stokis, Imanaina

KULIM: Meriah walaupun serba sederhana. Apatah lagi dengan kehadiran team Pemasaran Ayam Bismi pada majlis pembukaan cawangan baharu, Imanaina Frozen and Grocery di Taman Melawis dekat ini semalam iaitu salah satu stokis terbesar syarikat ini di Kedah.

Pelbagai aktiviti menarik dianjurkan sepanjang majlis berkenaan termasuk “Happy Hour’ yang menyediakan hadiah percuma daripada Imanaina untuk pelanggan selain pemberian cenderamata daripada Ayam Bismi sendiri.

Tidak ketinggalan, demonstrasi masakan daripada Cef Sobri yang popular di daerah ini menggunakan pelbagai jenis produk sejuk beku yang dijual di premis berkenaan.

Pelanggan juga berpeluang mencuba pelbagai jenis makanan yang disajikan termasuk produk daripada Ayam Bismi seperti bebola ayam.

Penglibatan team Ayam Bismi ini yang turut menurunkan Skuad Ayam Pink ke lokasi itu adalah sebagai menghargai stokis berkenaan yang mempercayai produk daripada syarikat ini sejak tahun lepas.

Menurut pemilik Imanaina Frozen and Grocery, Abd. Wahab Abdul, 50, pihaknya berbesar hati dengan kesudian Ayam Bismi untuk memeriahkan majlis tersebut.

“Ini merupakan cawangan kedua Imanaina selepas yang pertama di Kulim Hi-Tech yang tidak jauh di sini. Alhamdulillah majlis berjalan lancar.

“Selain mempromosikan premis ini, kami juga ingin menghargai pelanggan setia kami,” katanya yang mengusahakan perniagaan itu bersama isteri, Rozmah Mohamad, 49.

Menurut Abd. Wahab, Imanaina Frozen and Grocery yang juga merupakan singkatan daripada nama anaknya itu dibuka sejak empat tahun lepas.

“Kami menjual produk Ayam Bismi sejak Mei lepas dan sambutan menggalakkan kerana banyak yang mengetahui produk ini adalah daripada syarikat bumiputera. Jualan mampu mencapai sehingga 10,000 bagi dua premis ini,” katanya.

Imanaina Frozen and Grocery itu mempunyai 14 peti sejuk beku dan tiga peti sejuk selain sebuah bilik sejuk beku untuk menyimpan pelbagai produk mereka yang kebanyakannya adalah daripada bumiputera.

Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi) adalah sebuah syarikat milikan bumiputera yang menekankan konsep halal 100 peratus kepada ternakan, sembelihan dan pengedaran produk.

Bismi Empire Sdn. Bhd. turut mempunyai empat anak syarikatnya iaitu, Bismi Cergas Sdn. Bhd. yang menjalankan aktiviti penternakan,  Ayam Bismi Sdn. Bhd. (pemprosesan dan pemasaran), Naka Biolife Sdn. Bhd., (mengendali makmal diagnosis) dan Ayam Bismi Food Sdn. Bhd.(pemprosesan produk hiliran).

Ayam Bismi mempunyai lebih 600 ejen dan stokis di seluruh negara.

Scroll to Top