Tagging gelang pink Ayam Bismi dapat pujian JHEAIK

ALOR SETAR: Sistem penandaan (tagging) gelang pink ayam segar keluaran Ayam Bismi mendapat pujian daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) dalam usaha memberi kesedaran tentang kepentingan halal kepada umat Islam.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal (Unit Pemantauan dan Penguatkuasaan) JHEAINK, Syeikh Muhammad Hafeez Che Salim, langkah itu juga dianggap satu penyelesaian terbaik dalam menjaga industri halal berkenaan.

“Pertama kali kami melihat tagging seperti ini. Ini inisiatif terbaik dan langkah bijak iaitu satu pembaharuan untuk memaklumkan kepada orang ramai khususnya umat Islam bahawa ayam ini daripada syarikat pemegang pensijilan halal.

“Selain mengelak daripada salahguna oleh pihak lain,” katanya ketika melakukan Lawatan Pemeriksaan Audit di Kilang Memproses Ayam Bismi di sini hari ini.

Jelas beliau,  audit pemantauan seumpama ini yang dilakukan ke atas pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia dilaksanakan setiap tahun bagi memastikan semua standard dan manual Prosedur Pensijilan Halal itu dipatuhi.

Pemeriksaan audit berkenaan berlangsung lebih tiga jam dengan kehadiran pihak pengurusan tetinggi dan ketua jabatan Ayam Bismi Cergas Sdn Bhd iaitu anak syarikat Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi) bagi segmen penternakan dan pengeluaran ayam itu.

Sekadar rekod, gelang pink dipakaikan pada pergelangan kaki ayam segar sebagai jaminan setiap bekalan ini datang dari kilang memproses Ayam Bismi yang mempunyai pensijilan halal daripada JAKIM.

Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi) adalah sebuah syarikat milikan bumiputera yang menekankan konsep halal 100 peratus kepada ternakan, sembelihan dan pengedaran produk.

Bismi Empire Sdn. Bhd. turut mempunyai empat anak syarikatnya iaitu, Bismi Cergas Sdn. Bhd. yang menjalankan aktiviti penternakan,  Ayam Bismi Sdn. Bhd. (pemprosesan dan pemasaran), Naka Biolife Sdn. Bhd., (mengendali makmal diagnosis) dan Ayam Bismi Food Sdn. Bhd.(pemprosesan produk hiliran).

Scroll to Top