Stokis Ayam Bismi kongsi resipi bertahan dalam industri halal

ALOR SETAR: Sukar memperoleh produk buatan Muslim suatu ketika dahulu mendorong bekas jurutera telekomunikasi ini menceburi peruncitan industri halal sejak 11 tahun lepas di Selangor.

Stokis Ayam Bismi, Subi Abdul Hamid, 65, pemilik Nariz Mart kini boleh berbangga kerana berjaya membuka empat premis perniagaan berkenaan di Batu Caves dan Selayang yang menjual pelbagai produk halal.

“Dulu memang susah nak jumpa produk buatan Muslim yang dipasarkan secara komersial. Kalau ada pun tak banyak itu pun sukar nak cari.

“Itu alasan pertama saya buka Nariz Mart untuk jual semua produk Muslim ini,” katanya ketika ditemui pada siri jelajah Fun Tour Ayam Bismi.

Menurut Subi, langkah berkenaan juga membolehkan Nariz Mart membantu lebih ramai pengusaha IKS untuk memasarkan produk mereka.

“Banyak produk di sini adalah daripada pengusaha IKS seluruh Malaysia. Saya tahu bukan mudah untuk mereka pasarkan terutama yang bisnes kecil-kecilan, jadi Nariz Mart akan bantu pasar dan pasaran produk itu di Lembah Klang memang ada,” katanya.

Menyentuh tentang Ayam Bismi, katanya, dia diperkenalkan kepada jenama ini ketika mengunjung Halal Fest di ibu kota, lima tahun lepas.

“Ketika itu memang saya mencari-cari produk halal keluaran Muslim dan saya terjumpa dengan jenama ini di Halal Fest. Terus jadi stokis tanpa ragu-ragu lagi.

“Kerana saya yakin dan percaya bahawa ini adalah produk 100 peratus halal. Alhamdulillah kali pertama belian stok Nariz Mart adalah 200 pek dan kini 800 pek setiap bulan. Tak susah sebenarnya nak jual produk Ayam Bismi terutama produk ayam segar beku (FFC),” katanya.

Maklum balas daripada pelanggan yang diterimanya tentang produk Ayam Bismi juga memberangsangkan kata Subi.

“Banyak yang kata mudah untuk masak bila guna produk Ayam Bismi dan mereka juga kata tak perlu was-was langsung guna Ayam Bismi 100 peratus yakin,” katanya.

Bercakap tentang resipi kejayaannya membuka empat cawangan Nariz Mart dalam tempoh 11 tahun, kata Subi, paling utama adalah kesungguhan di samping keikhlasan berniaga ke jalan Allah.

“Niat kita itu paling penting jika kita berniat kerana Allah insyaAllah Tuhan akan permudahkan. Lainlah kita berusaha bersungguh-sungguh.

“Hubungan dengan pelanggan kena jaga juga supaya mereka terus datang ke kedai kita,” jelasnya.

Subi memberitahu, dia berharap dapat terus mengembangkan perniagaannya itu dengan membuka lebih banyak cawangan Nariz Mart dan memasarkan lebih banyak produk halal di negeri itu.

Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi) bermula dengan sebagai syarikat memproses dan menjual ayam kecil-kecilan pada 1988, kemudian berkembang dalam segmen penternakan yang kini mempunyai 18 ladang bersepadu dengan kapasiti ternakan 2 juta ekor ayam.

Ayam Bismi yang bergelar syarikat milikan bumiputera sepenuhnya kemudian mengorak langkah memasarkan hasil ternakan secara borong dan runcit melalui penubuhan empat anak syarikatnya, Bismi Cergas Sdn. Bhd. yang menjalankan aktiviti penternakan, Ayam  Bismi Sdn. Bhd. (aktiviti pemprosesan dan pemasaran), Naka Biolife Sdn. Bhd. (mengendali makmal diagnosis) dan Ayam Bismi Food Sdn. Bhd. (pemprosesan produk hiliran).

Pada masa ini, Ayam Bismi berkembang pesat dengan mencari ejen dan stokis  di seluruh Malaysia untuk memasarkan Ayam Segar Beku (FFC) yang dipotong, dicuci dan dibekukan segera serta produk hiliran seperti Ayam Popcorn, Ayam Perap, Ayam Kisar, Rempah Ayam Goreng Tandoori, Bebola Ayam (Bisball). Terdapat 600 stokis dan ejen Ayam Bismi di seluruh Semenanjung Malaysia.

Scroll to Top