Sentiasa jaga hati suami – Hajah Mazlina

ALOR SETAR: “Sejauh mana pun kita berjaya jangan melukakan hati suami.”
Itu kata-kata inspirasi daripada Pengarah Urusan Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi), Hajah Mazlina Kamarudin yang dikongsi beliau dalam sesi webinar bertajuk Wanita Peneraju Keusahawanan Negara dalam program e-Showcase Koperasi dan Usahawan Wanita (eBiznita) anjuran Institut Koperasi Malaysia.
Dalam ceramah secara maya bertajuk Kepimpinan Wanita Berhati Waja itu, Hajah Mazlina berkongsi pengalaman dan tips bagaimana menyerlahkan keperibadian wanita sebagai pemimpin dalam sesebuah organisasi mahupun keluarga.
Katanya, wanita mampu berjaya sebagai ketua dalam sesebuah organisasi atau syarikat dan pada masa yang sama memiliki keluarga yang bahagia di samping suami dan anak-anaknya.
“Yang penting mesti saling sayang menyayangi… cinta pada keluarga. Tolong jaga hubungan dengan suami dan keluarga jika berniaga bersama-sama. Sejauh mana pun kita berjaya jangan melukakan suami kita.
“Di pejabat andai kita bos dan suami hanya membantu, jangan jadi kurang ajar… kena jaga hatinya. Jangan lupa diri. Perkara ini penting untuk menjayakan perniagaan, jangan perniagaan berjaya tapi cerai berai,” katanya.
Katanya, status sebagai isteri itu tidak pernah menjadi penghalang untuk wanita berjaya dalam kerjaya mereka malah mampu menjadikan wanita berdaya tahan.

Katanya, menjadi pemimpin wanita yang waja dan tegar bukan mudah namun bukan juga mustahil. Begitu juga walaupun tidak sempurna wanita mampu menjadi pemimpin

hebat

melewati batas gender yang disering dimomokkan sebagai penghalangnya.

“Kenapa kepimpinan wanita ini unik? Wanita penuh kelembutan, berani, empati, kuat semangat dan dilatih untuk menjadikan kuat semangat sepanjang kehidupan kita. Ciri-ciri wanita ini yang membentuk kita menjadi seorang yang tegar walau apapun berlaku,” katanya.
Dalam ceramah berlangsung lebih sejam itu Hajah Mazlina turut berkongsi tentang usahanya membangunkan Rumah Makan Percuma (RMP) sejak tahun lepas yang memberi makanan percuma kepada orang ramai yang menjadi kebanggaannya dan perniagaan Ayam Bismi ini.
“Hidup harus bagi manfaat kepada orang lain dan bagi inspirasi kepada orang lain. Kita buat perkara baik-baik. Kalau kalian berniaga kecil-kecil jangan ikut saya, mulakan sedekah makanan kecil kecil dulu seperti masak nasi lemak sedekah kepada jiran,” katanya.
Hajah Mazlina menjadi tulang belakang di sisi suami kesayangan, Haji Jaffri Ahmad yang juga Pengasas dan Presiden Bismi Empire Sdn. Bhd. sejak 33 tahun lepas.
Pelbagai cabaran dan rintangan ditempuhi pasangan suami isteri ini sepanjang tempoh itu namun kerjasama yang kukuh dan sikap tolak ansur mereka berjaya membangunkan bisnes ini daripada sebuah premis memproses hanya 50 ekor ayam kepada syarikat yang memiliki 18 ladang dengan kapasiti dua juta ternakan.
Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi) adalah sebuah syarikat milikan bumiputera yang menekankan konsep halal 100 peratus kepada ternakan, sembelihan dan pengedaran produk.
Bismi Empire Sdn. Bhd. turut mempunyai empat anak syarikatnya iaitu, Bismi Cergas Sdn. Bhd. yang menjalankan aktiviti penternakan, Ayam Bismi Sdn. Bhd. (pemprosesan dan pemasaran), Naka Biolife Sdn. Bhd., (mengendali makmal diagnosis) dan Ayam Bismi Food Sdn. Bhd.
Scroll to Top