Rebut peluang jadi usahawan, dermawan

ALOR SETAR: Kewujudan kolej komuniti secara tidak langsung membolehkan bukan sahaja golongan belia memperkasakan kemahiran teknikal dan vokasional, malah untuk masyarakat setempat serta individu mendapat pendidikan seumur hidup bagi meningkatkan kehidupan selain peluang menggunakan pelbagai fasiliti di situ.

Atas alasan itu, peluang untuk menimba pelbagai ilmu kemahiran di kolej berkenaan perlu direbut oleh sesiapa sahaja tanpa mengira usia selagi bercita-cita untuk memperbaiki kehidupan masing-masing, kata Pengarah Urusan Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi), Hajah Mazlina Kamarudin, yang berpeluang menjadi panel juri Anugerah Keusahawanan: Institusi (Kolej Komuniti Terbaik)  baru-baru ini.

“Contohnya, Kolej Komuniti (KK) Sungai Petani, mereka berusaha membina usahawan di mana apabila saya bertanya mereka ingin melahirkan usahawan yang  jutawan dan dermawan.

“Ini sangat selari dengan apa yang diterapkan di Ayam Bismi, maksudnya walaupun kita berniaga dan kaya tetapi kita kena fikir bahawa bukan semua itu duit kita, jadi nak wujudkan jutawan dan dermawan itu adalah sesuatu hala tuju yang terbaik,” katanya.

KK Sungai Petani itu antara tiga KK yang terpilih di samping, KK Hulu Langat Selangor dan KK Pasir Gudang, Johor.

Kata Hajah Mazlina, lawatan beliau ke KK Sungai Petani sebagai juri itu amat menarik terutama ketika pengurusannya dilihat sangat bersungguh-sungguh untuk membina usahawan bukan sahaja dalam golongan belia tetapi penduduk setempat malah orang kurang upaya (OKU).

“Pembelajaran sepanjang hayat ini menarik kerana semua boleh belajar tanpa mengira usia dan ada juga segmen OKU yang sangat membanggakan bagi saya, maksudnya mereka tidak mengenepikan golongan ini.

“Sebenarnya,  OKU perlu dibantu supaya mereka dapat menjana ekonomi sendiri. Apa yang saya kagum apabila mereka memikirkan pengajaran belajar untuk OKU ini,” jelasnya.

Tambah menarik katanya, selain pembelajara n kolej komuniti berkenaan juga mempunyai program inkubator yang mendedahkan graduannya dalam bidang perniagaan selepas menamatkan pembelajaran di situ.

“Difahamkan ada empat inkubator di sini iaitu ada kafe apabila graduannya berpeluang menjalankan perniagaan di situ. Ada juga inkubator dobi.

“Bagi saya untuk berniaga ini, melakukan langkah pertama… itu adalah susah. Kalau disediakan inkubator mereka sediakan tapak jualan, saya amat tertarik dengan apa yang mereka lakukan ini,” katanya.

Tambah Hajah Mazlina, semua individu perlu menggunakan  peluang yang disediakan kerajaan itu dalam pelbagai bidang untuk memperbaiki taraf ekonomi masing-masing tanpa perlu bergantung kepada sepenuhnya kepada bantuan kerajaan.

“Sampai bila kita nak bergantung kepada pihak kerajaan untuk beri bantuan kepada kita. Contoh bila berlaku pandemik banyak yang harapkan bantuan kepada kerajaan… itu tidak salah tetapi dalam proses bina negara mesti sama bangkit.

“Jika kita tidak kebolehan lain mungkin kita ada minat untuk berniaga kuih muih atau berniaga bahulu,   urutan, banyak tempat yang boleh kita pergi belajar dan mahirkan diri,” katanya.

Scroll to Top