Naka Biolife terpilih jalani kajian E. coli bersama UiTM Perlis

ALOR SETAR: Anak syarikat Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi), Naka Biolife Sdn. Bhd. (Naka Biolife) maju setapak apabila terpilih untuk menjalankan penyelidikan berkaitan pengesanan molekul untuk sektor ternakan.

Lebih membanggakan, penyelidikan yang melibatkan ahli mikrobiologi Naka Biolife, Ts. Isma Syahril Ismail bersama sekumpulan penyelidik universiti berkenaan turut menerima geran bernilai RM5,000.

Menurut Isma Syahril, penyelidikan bertajuk, ‘The Molecular Detection for Zoonotic Bacteria of Escherichia Coli in Livestock Samples Using Multiplex Polymerase Chain Reaction Assay’ itu akan dijalankan sepanjang tahun ini.

“Kerjasama ini adalah satu pengiktirafan kepada Naka Biolife. Tujuan utama penyelidikan adalah untuk mengkaji kaedah paling tepat, cepat dan efektif dalam pengesanan bakteria E. coli. Saya merasa bertuah kerana terpilih untuk menyertai penyelidikan ini setelah kertas cadangan kami dipersetujui oleh pihak universiti.

“Pembabitan Naka Biolife dalam penyelidikan berkenaan adalah satu bentuk pemindahan teknologi dan maklumat ke makmal ini. Penyelidikan ini juga akan memaksimumkan kemudahan dan kepakaran Naka Biolife untuk menjayakannya,” katanya di sini hari ini.

Jelasnya, Naka Biolife juga berpeluang memanfaatkan hasil kajian berkenaan untuk diguna pakai di makmal berkenaan berkaitan pengesanan bakteria E. coli.

“Kaedah yang berjaya dikenalpasti kelak akan membantu meningkatkan lagi ujian diagnosis makmal berkaitan pengesanan bakteria E. coli di ladang dan kilang Ayam Bismi.

“Hasil penyelidikan ini juga akan menggunakan makmal Naka Biolife bagi pengesanan bakteria berkenaan,” katanya.

Naka Biolife ditubuh pada 2018 dengan pelaburan lebih RM250,000 untuk mengendalikan makmal diagnosis.

Makmal tersebut yang beroperasi di Pokok Sena melalui kawal selia Team Quality Assurance dengan seorang ahli penyelidik mikrobiologi berpengalaman itu, kini menjadi segmen terpenting bagi sektor ternakan ayam.

Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi) bermula dengan sebagai syarikat memproses dan menjual ayam kecil-kecilan pada 1988 yang kemudian berkembang dalam segmen penternakan yang kini mempunyai 18 ladang bersepadu dengan kapasiti ternakan 2 juta ekor ayam.

Ayam Bismi yang bergelar syarikat milikan bumiputera sepenuhnya kemudian mengorak langkah memasarkan hasil ternakan secara borong dan runcit melalui penubuhan empat anak syarikatnya, Bismi Cergas Sdn. Bhd. yang menjalankan aktiviti penternakan, Ayam  Bismi Sdn. Bhd. (aktiviti pemprosesan dan pemasaran), Naka Biolife Sdn. Bhd. (mengendali makmal diagnosis) dan Ayam Bismi Food Sdn. Bhd. (pemprosesan produk hiliran).

Pada masa ini, Ayam Bismi berkembang pesat dengan mencari ejen dan stokis untuk memasarkan Ayam Segar Beku (FFC) yang dipotong, dicuci dan dibekukan segera serta produk hiliran seperti Ayam Popcorn, Ayam Perap, Ayam Kisar, Rempah Ayam Goreng Tandoori, Bebola Ayam (Bisball).

Terdapat 600 stokis-ejen di seluruh Semenanjung.

Scroll to Top