“Nak makan ayam memang payahlah”

ALOR SETAR: “Nak makan ayam memang payahlah, tambah lagi kalau tak boleh motong (menoreh).”

​Kata salah seorang penduduk di Tualak, Kuala Nerang saat disapa wartawan Berita Bismi ketika menyampaikan sumbangan ayam segar melalui aktiviti amal sekitar kampung di kawasan berkenaan.

​Sememangnya, banyak yang terkesan dengan pandemik Covid-19 termasuk penduduk di pedalaman negeri ini.

​Prihatin dengan situasi itu syarikat penternakan, pemprosesan dan pengedaran ayam, Bismi Empire Sdn. Bhd, menziarah penduduk berkenaan untuk mengagihkan ayam percuma.

​Sebanyak 30 ekor ayam diagihkan kepada orang susah di Kampung Labi, Kampung Tengah dan Kampung Baru di daerah tersebut yang rata-rata merupakan asnaf, ibu tunggal, pesakit terlantar, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

​Sepanjang PKP 3.0, program Ayam CSR tersebut menerima sumbangan sebanyak RM47,630 daripada individu, syarikat korporat serta badan bukan kerajaan (NGO) untuk diagihkan dengan pemberian ayam percuma itu.

​Ayam Bismi turut menyediakan subsidi dengan setiap pembelian ayam untuk didermakan kepada mereka yang memerlukan ituSumbangan terbaharu itu melibatkan syarikat Secret Marketeer dan individu, Puteh Suraya.

​Pemberian ayam segar melalui program Ayam CSR dihulurkan untuk menceriakan penduduk di kampung berkenaan selain sebagai tanda simpati syarikat berkenaan kepada golongan berkenaan yang hidup serba kekurangan.

​Agihan terbaharu di mukim Tualak itu oleh wakil daripada jabatan pemasaran Ayam Bismi bersama wakil penduduk setempat, Abidin Mat, 64, disambut dengan rasa terharu dan sayu penerima.

​“Selalu dapat bantuan beras, gula, kopi dan susu tetapi ayam tak pernah lagi, Alhamdulillah ada juga yang simpati,” kata Saripah Mehat, 50, seorang ibu tunggal dari Kampung Labu, Tualak itu.

​Seorang lagi penerima, Abdul Rani Awang, 59, memberitahu kehidupan mereka sekeluarga susah ekoran pandemik apatah lagi dengan situasi harga getah yang tak menentu selain faktor cuaca.

​“Macam hari ini hujan memang tak boleh pergi motong (menoreh) getah dan tiadalah duit. Nak beli barang terpaksalah simpan niat tu dulu.

​“Macam ayam ni memang payah nak jumpalah kalau tak pergi motong. Mujur dapat ayam percuma ini kalau bawa balik ke rumah tentu anak-anak dan isteri suka dapat makan ayam hari ini walaupun tak boleh pergi motong,” kata penoreh ini yang terpaksa menyara enam keluarganya.

​Ziarah itu turut menceriakan seorang OKU yang cacat penglihatan dan kudung kaki akibat kencing manis, Siti Mariam Abdullah, 57, yang kini hanya mampu diam di katilnya.

​“Terima kasihlah sudi lawat makcik dan bagi ayam free (percuma),” katanya dengan nada sayu.

​Menurut Mariam yang tidak henti-henti mengucap terima kasih kepada wakil Ayam Bismi itu kehadiran mereka cukup menceriakan hatinya.

​Begitu juga dengan pasangan warga emas, Saidah Saad, 78, dan Abdul Rahman Ariffin, 80, yang kini hidup bergantung kepada bantuan bulanan zakat yang ceria tatkala menerima tetamu dari Ayam Bismi ini untuk menyampaikan sumbangan.

​Bismi Empire Sdn. Bhd. adalah sebuah syarikat milikan bumiputera yang menekankan konsep halal 100 peratus kepada ternakan, sembelihan dan pengedaran produk.

​Produk-produk utama syarikat ialah ayam daging hidup, ayam proses, dan ayam segar beku siap potong dan cuci. Selain itu, syarikat juga menyediakan produk sampingan seperti popcorn ayam, ayam perap, bebola ayam, ayam kisar dan rempah ayam goreng tandoori.

Scroll to Top