Fun Tour bertamu di Hidayah Frozen Mart

RAWANG: Program Fun Tour Ayam Bismi hari ini memulakan siri jelajahnya di salah sebuah premis stokis Ayam Bismi, Hidayah Frozen Mart di Taman Bersatu dekat sini.

Bukan sekadar bertemu dan beramah mesra, siri pertama Fun Tour ini turut menyaksikan perasmian premis yang menjual produk halal dan IKS itu sejak dibuka pada Januari lepas.

Selain perasmian oleh Ahli Majlis PBT kawasan berkenaan, Sulaiman Abu Samah pelbagai aktiviti menarik diatur sepanjang majlis berkenaan.

Itu termasuk demonstrasi masakan oleh Duta Ayam Bismi, Chef Din serta beberapa vendor lain. Tidak ketinggalan Happy Hour daripada pihak penganjur dan Ayam Bismi sendiri yang menawarkan produknya pada harga promosi sempena pengenalan dua produk terbaharunya, Fun10 dan Fun5.

Dalam pada itu menurut pemilik Hidayah Frozen Mart, Mohd. Taufiq Che Din, 41, dia mengambil kesempatan sempena jelajah Fun Tour itu untuk merasmikan premis berkenaan.

“Saya terharu apabila Ayam Bismi sudi datang ke premis ini kerana saya masih baru.

Alhamdulillah semua berjalan lancar, Hidayah Frozen Mart dibuka sejak Januari lepas namun kekangan daripada PKP menyebabkan perasmiannya tertangguh.

“Kebetulan Ayam Bismi ada siri jelajah di Selangor saya ambil kesempatan untuk buat perasmian ini,” katanya yang mula menjadi usahawan Ayam Bismi sejak tahun lepas.

Hidayah Frozen Mart merupakan destinasi pertama Fun Tour Ayam Bismi yang berlangsung lima hari di lokasi terpilih sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka.

Pelbagai aktiviti diatur sepanjang program berkenaan termasuk dua lokasi dipilih bagi sesi merekrut orang ramai yang ingin menjadi usahawan Ayam Bismi iaitu di Hotel Metrasquare, Ayer Keroh, Melaka pada pukul 8.30 malam (27 November) dan Bangi Resort Hotel pada pukul 9 malam (29 November).

Lokasi lain yang bakal dilawati ialah, Nariz Mart, Batu Caves dan Nur Rahman Wangsa Maju, Selangor (26 November), Minda Jaya, Masjid Tanah Melaka  (27 November),  Lesong Mart Port Dickson (Faiqah H Mart) , Bahau Negeri Sembilan (28 November), dan Yakin Halal Mart  (29 November).

Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi) bermula dengan sebagai syarikat memproses dan menjual ayam kecil-kecilan pada 1988, kemudian berkembang dalam segmen penternakan yang kini mempunyai 18 ladang bersepadu dengan kapasiti ternakan 2 juta ekor ayam.

Ayam Bismi yang bergelar syarikat milikan bumiputera sepenuhnya kemudian mengorak langkah memasarkan hasil ternakan secara borong dan runcit melalui penubuhan empat anak syarikatnya, Bismi Cergas Sdn. Bhd. yang menjalankan aktiviti penternakan, Ayam  Bismi Sdn. Bhd. (aktiviti pemprosesan dan pemasaran), Naka Biolife Sdn. Bhd. (mengendali makmal diagnosis) dan Ayam Bismi Food Sdn. Bhd. (pemprosesan produk hiliran).

Pada masa ini, Ayam Bismi berkembang pesat dengan mencari ejen dan stokis  diseluruh Malaysia untuk memasarkan Ayam Segar Beku (FFC) yang dipotong, dicuci dan dibekukan segera serta produk hiliran seperti Ayam Popcorn, Ayam Perap, Ayam Kisar, Rempah Ayam Goreng Tandoori, Bebola Ayam (Bisball). Terdapat 600 stokis-ejen di seluruh Malaysia.

Scroll to Top