Dana Mak sumbang 84 pek susu formula untuk anak pekerja Ayam Bismi

ALOR SETAR: Pelbagai bantuan terus disalurkan untuk meringankan beban pekerja Ayam Bismi terutama dalam kalangan kurang berkemampuan ketika cabaran pandemik Covid-19 ini.

Begitu juga, kesinambungan keprihatinan daripada program Dana Ayah, tampil bantuan susu formula melalui Dana Mak yang juga diilhamkan Pengarah Urusan Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi), Hajah Mazlina Kamarudin untuk membantu pekerjanya.

Bantuan disalurkan adalah dua pek susu formula untuk setiap seorang anak kepada 33 pekerja syarikat yang terpilih dan sejumlah 84 pek susu berkenaan disampaikan oleh Pengarah Ayam Bismi, Ira Haryani Jaffri sebagai mewakili Hajah Mazlina dalam satu majlis ringkas hari ini.

Menurut Hajah Mazlina, dana program tersebut adalah daripada wang sewaan bendang milik arwah ibunya, Allahyarhamah Rokiah Iman di Perlis.

“Hari itu saya sumbang bakul makanan kepada pekerja melalui Dana Ayah iaitu wang sewaan daripada arwah ayah saya.

“Walau apa pun keadaan berlaku dengan keadaan pandemik ini, kanak-kanak tidak harus menjadi korban. Mereja wajib menikmati makanan berkhasiat demi masa depan mereka.

“Semoga perkara ini juga menjadi inspirasi kepada majikan atau pihak lain untuk menyumbang kepada pekerja terutama yang kurang berkemampuan,” katanya.

Menurut beliau, dengan adanya bantuan berupa susu formula ini diharapkan dapat meringankan beban keluarga pekerja berkenaan.

Bagi penerima, bantuan tentunya meringankan beban selain dapat menceriakan  anak kecil mereka.

Menurut Akmal Arif Dzayaol Akmal, 35, yang menerima empat pek susu untuk dua anaknya yang berusia lima tahun dan sembilan bulan, dia terharu dengan bantuan tersebut.

“Saya ingin berterima kasih kepada Hajah kerana sudi bantu sebab susu macam ini memang payahlah nak beli anak yang lima tahun selalu minum susu kotak sahaja itu pun kadang-kadang bila sudah dapat gaji.

“Dulu saya dapat bantuan bakul makanan dan hari ini susu formula pula, memang bersyukur sangat,” kata pekerja am di kilang memproses di sini.

Nur Ezzati Azmi, 27, iaitu ibu kepada dua anak yang berusia tiga dan dua tahun berkata, pemberian susu berkenaan dapat menjimatkan perbelanjaannya bagi bulan ini.

“Alhamdulillah, saya dapat dua pek jadi jimatlah wang untuk beli susu kerana setiap bulan saya habiskan RM125 untuk beli lima pek susu bagi mereka. Wang ini boleh buat belanja lain.

“Kami sebagai pekerja terharu sangat dengan sikap majikan seperti Hajah,” kata jurujual di Outlet Ayam Bismi di Anak Bukit ini.

Ahmad Rajaie Samsudin, 33, dari Jabatan Logistik Ayam Bismi memberitahu, bantuan empat pek susu formula untuk anaknya yang berusia lima dan dua tahun itu amat dihargainya.

Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi) adalah sebuah syarikat milikan bumiputera yang menekankan konsep halal 100 peratus kepada ternakan, sembelihan dan pengedaran produk.

Bismi Empire Sdn. Bhd. turut mempunyai empat anak syarikatnya iaitu, Bismi Cergas Sdn. Bhd. yang menjalankan aktiviti penternakan,  Ayam Bismi Sdn. Bhd. (pemprosesan dan pemasaran), Naka Biolife Sdn. Bhd., (mengendali makmal diagnosis) dan Ayam Bismi Food Sdn. Bhd.(pemprosesan produk hiliran).

 

Scroll to Top