Ayam import mampu ‘bunuh’ peniaga kecil   

ALOR SETAR: Keputusan kerajaan memberi  kebenaran untuk mengimport ayam bulat walaupun untuk tempoh tiga bulan dikhuatiri membunuh peniaga-peniaga kecil industri ini dalam jangka masa panjang.

Pengarah Urusan Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi), Hajah Mazlina Kamarudin berkata, bukan hanya penternak ayam besar-besaran yang menjual ayam segar pada pasaran terbuka terkesan dengan langkah itu, begitu juga pada peringkat runcit yang kebanyakannya terdiri daripada peniaga Melayu.

“Isu sekarang adakah ayam import ini akan bunuh industri ternakan ayam ini? Jawapan saya, Ya! Ayam import ini selalu dipasarkan di pasar raya kerana kalau peniaga kecil mereka susah nak jual ayam sejuk beku.

“Jadi apabila ayam import ini masuk Malaysia ia akan dilambakkan di pasar raya A, pasar raya B yang sekarang tumbuh melata walaupun di pekan-pekan kecil. Maka orang ramai pun berpusu-pusu ke sini kerana lebih mudah daripada beli ayam di pasar atau tengah jalan.

“Bagaimana dengan nasib peniaga-peniaga kecil ayam ini tentu sahaja mereka tidak mampu bersaing dengan pasar raya ini. Lama-kelamaan mereka akan bungkus kerana mereka tidak mungkin dapat menjual ayam pada harga sama dengan pasar raya berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, berbanding syarikat penternakan yang mempunyai segmen lain untuk mengurangkan kesan kerugian tersebut seperti produk hiliran atau ayam segar beku.

“Walau bagaimanapun, jika ditanyakan kepada penternak seperti saya, memang kami semua terasa dengan langkah kerajaan ini. Amat terasa apabila ada yang kata kami degil tak mahu turunkan harga ayam maka dilambakkan ayam import sebagai hukuman.

“Tak apalah kami terima ujian ini dan cuba untuk bertahan dengan perkara ini. Namun atas dasar keprihatinan juga adakah kerajaan atau kementerian berkenaan yang membenarkan ayam dari luar negara ini masuk tahu sumber halal toyyiban ayam ini?

“Walaupun ada kilang yang canggih daripada yang kita miliki di Malaysia, adakah status halal ayam import ini dipantau? Atau adakah semua ayam import ini datang daripada kilang yang amalkan prosedur halal? Siapakah yang akan pastikan perkara ini?” soalnya.

Jelasnya, kekurangan ayam di pasaran yang menjadi antara sebab kenaikan harga komoditi tersebut selain daripada kenaikan harga dedak dan anak ayam sejak awal PKP pada Mac lepas.

“Harga ayam memang tidak menentu sekarang dan ramai yang salahkan penternak. Kerajaan pun import ayam seolah-olah menyalahkan tokey ayam mengatakan kita tak nak turunkan harga ayam.

“Dakwaan itu sama sekali tidak benar kerana kenaikan harga ayam itu disebabkan beberapa faktor.

Yang pertama, disebabkan kenaikan harga dedak dulu 80/pek sebelum PKP sekarang harga dedak RM140 di peringkat runcit dan di peringkat RM120.  Kenaikan itu sangat ketara. Kenaikan dedak berlaku kerana kenaikan harga jagung dan soya juga kejatuhan matawang itu yang diberitahu oleh pihak pengeluar dedak.

“Faktor lain yang turut mempengaruhi adalah kekurangan buruh asing untuk berkerja di ladang-ladang ternakan ayam ini sekali gus mengakibatkan kemasukan ayam terpaksa dikurangkan walaupun kapasiti ladang 200,000 namun kini hanya 70,000 kerana tenaga kerja tak cukup nak jaga anak ayam ini,” katanya.

Jelasnya, ternakan dan pengeluaran ayam akan kembali stabil jika isu tenaga buruh itu diselesaikan apabila kerajaan membenarkan kemasukan buruh asing.

“Rata-rata yang kita ketahui buruh asing amat diperlukan di  sektor ternakan ayam sama perladangan atau pertanian. Banyak ladang gunakan sistem manual dalam penyelenggaraan ternakan dan ini kerja kotor serta berat yang tidak disukai pekerja tempatan,” katanya.

Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi) bermula dengan sebagai syarikat memproses dan menjual ayam kecil-kecilan pada 1988, kemudian berkembang dalam segmen penternakan yang kini mempunyai 18 ladang bersepadu dengan kapasiti ternakan 2 juta ekor ayam.

Ayam Bismi yang bergelar syarikat milikan bumiputera sepenuhnya kemudian mengorak langkah memasarkan hasil ternakan secara borong dan runcit melalui penubuhan empat anak syarikatnya, Bismi Cergas Sdn. Bhd. yang menjalankan aktiviti penternakan, Ayam  Bismi Sdn. Bhd. (aktiviti pemprosesan dan pemasaran), Naka Biolife Sdn. Bhd. (mengendali makmal diagnosis) dan Ayam Bismi Food Sdn. Bhd. (pemprosesan produk hiliran).

Pada masa ini, Ayam Bismi berkembang pesat dengan mencari ejen dan stokis  diseluruh Malaysia untuk memasarkan Ayam Segar Beku (FFC) yang dipotong, dicuci dan dibekukan segera serta produk hiliran seperti Ayam Popcorn, Ayam Perap, Ayam Kisar, Rempah Ayam Goreng Tandoori, Bebola Ayam (Bisball). Terdapat 600 stokis-ejen di seluruh Malaysia.

Scroll to Top