Ayam Bismi serah zakat perniagaan RM370,000 bagi 2021

ALOR SETAR: Bismi Empire Sdn Bhd (Ayam Bismi) hari ini menyumbang zakat perniagaan sebanyak RM370,000 bagi 2021 yang mencatatkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

Penyerahan zakat tersebut dilakukan oleh Pengasas dan Presidennya, Haji Jaffri Ahmad kepada Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Datuk Syeikh Zakaria Othman. Turut hadir Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang.

Turut mengiringi, Pengarah Urusan Ayam Bismi, Hajah Mazlina Kamarudin.

Menurut Haji Jaffri, walaupun sasaran syarikat untuk sumbangan zakat tersebut tidak dapat dicapai tahun ini namun pihaknya tetap bersyukur kerana terdapat peningkatan berbanding tahun lepas.

“Jumlah zakat perniagaan Ayam Bismi tahun lepas adalah sebanyak RM370,000. Kita sebenarnya mensasarkan zakat 2021 sebanyak RM400,000 namun banyak kekangan yang kita hadapi tahun lepas termasuk Covid-19 syarikat gagal capai sasaran itu.

“Walau bagaimanapun, serahan zakat kita tahun lepas meningkat daripada tahun sebelumnya iaitu RM303,000. Alhamdulillah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Rumah Makan Percuma (RMP) dan Majlis Penyerahan Zakat Ayam Bismi 2021 di RMP hari ini.

Pada majlis yang sama beliau turut menyampaikan sumbangan zakat kepada golongan asnaf terdiri daripada masyarakat setempat yang juga kariah Masjid Al Taqwa dan Masjid Al A’la di Simpang Empat.

Ketika berucap pada majlis tersebut, kata Haji Jaffri, Ayam Bismi akan berusaha sedaya upaya membangunkan industri ayam yang berdepan dengan pelbagai cabaran ketika ini dan menyumbang kembali kepada anggota masyarakat.

“Supaya kita terus dapat membantu masyarakat seperti RMP ini yang memberi makan percuma kepada 400 pengunjung setiap hari kecuali Sabtu.

“Ayam Bismi kini berusaha keras untuk bertahan kerana Ini adalah tanggungjawab kita sebagai fardu kifayah,” katanya.

Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi) bermula dengan sebagai syarikat memproses dan menjual ayam kecil-kecilan pada 1988 yang kemudian berkembang dalam segmen penternakan yang kini mempunyai 18 ladang bersepadu dengan kapasiti ternakan 2 juta ekor ayam. Sehingga kini Ayam Bismi mengeluarkan lebih 1 juta hasil ternakan sebulan.

Ayam Bismi yang bergelar syarikat milikan bumiputera sepenuhnya kemudian mengorak langkah memasarkan hasil ternakan secara borong dan runcit melalui penubuhan empat anak syarikatnya, Bismi Cergas Sdn. Bhd. yang menjalankan aktiviti penternakan, Ayam  Bismi Sdn. Bhd. (aktiviti pemprosesan dan pemasaran), Naka Biolife Sdn. Bhd. (mengendali makmal diagnosis) dan Ayam Bismi Food Sdn. Bhd. (pemprosesan produk hiliran).

Pada masa ini, Ayam Bismi berkembang pesat dengan mencari ejen dan stokis di seluruh Malaysia untuk memasarkan Ayam Segar Beku (FFC) yang dipotong, dicuci dan dibekukan segera serta produk hiliran seperti Ayam Popcorn, Ayam Perap, Ayam Kisar, Rempah Ayam Goreng Tandoori, Bebola Ayam (Bisball). Terdapat 600 stokis-ejen di seluruh Malaysia.

Scroll to Top