Apid gembira dapat miliki motosikal dari wang titik peluhnya

ALOR SETAR: Tersenyum lebar insan OKU, Muhammad Apid Ishak, 39, di sisi sebuah motosikal yang baru ‘disuntingnya’ semalam.

Motosikal itu istimewa bagi pekerja am Ayam Bismi ini, yang dibeli secara tunai dengan harga RM2,800 hasil titik peluhnya sejak bekerja di syarikat berkenaan sejak Januari tahun ini.

Jika dahulu dia berulang alik ke tempat kerja di Kilang Memproses dengan menunggang basikal atau membonceng motosikal rakan, namun kini semuanya lebih mudah untuk Muhammad Apid ke sana sini setelah memiliki kenderaan itu.

Pembelian motosikal itu diuruskan oleh syarikat ini setelah Muhammad Apid menyatakan hasratnya untuk memilikinya baru-baru ini.

Menurut Ketua Jabatan Sumber Manusia, Norsyila Mohd. Zaki, pihaknya mengaturkan pembelian kenderaan berkenaan dengan menggunakan wang simpanan Muhammad Apid seorang pekerja OKU syarikat ini selain mengurus semua urusan berkaitan termasuk JPJ.

“Baru-baru ini Apid datang berjumpa kami kerana dia nak beli motosikal guna duit simpanannya itu. Kami uruskan semua sampai serahkan motosikal berkenaan semalam.

“Pembelian motosikal secara tunai guna wang simpanan daripada akaun persaraannya yang dijaga oleh syarikat. Setiap bulan sebahagian daripada gaji Apid akan syarikat simpan walau bagaimanapun wang itu boleh dikeluarkan mengikut keperluannya,” katanya yang menyerahkan kunci motosikal berkenaan kepadanya semalam.

Menurut Norsyila, Pengarah Urusan Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi), Hajah Mazlina Kamarudin meminta agar diwujudkan akaun simpanan persaraan itu sebagai salah satu usaha memastikan pengurusan wangnya teratur memandangkan Apid mempunyai masalah pembelajaran.

Bagi Muhammad Apid, dia bersyukur dan gembira kerana berpeluang memiliki aset sendiri daripada wang hasil titik peluhnya.

“Payah kalau Apid selalu tumpang kawan ke tempat kerja. Bila ada motosikal senanglah dan Apid gembira sangat.

“Motosikal ini Apid beli daripada duit yang Apid simpan,” katanya yang mempunyai masalah pembelajaran sejak kecil.

Kata Apid yang tinggal tidak jauh dari kilang ini bersama ayahnya, dia berterima kasih kepada majikannya yang banyak membantu mengurusnya di sebalik kekurangannya itu.

Muhammad Apid adalah salah seorang daripada pekerja OKU syarikat penternakan, pemprosesan dan pengeluaran milik bumiputera ini yang menerima pelbagai faedah selain sentiasa dijaga kebajikannya.

Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi) adalah sebuah syarikat milikan bumiputera yang menekankan konsep halal 100 peratus kepada ternakan, sembelihan dan pengedaran produk.

Bismi Empire Sdn. Bhd. turut mempunyai empat anak syarikatnya iaitu, Bismi Cergas Sdn. Bhd. yang menjalankan aktiviti penternakan,  Ayam Bismi Sdn. Bhd. (pemprosesan dan pemasaran), Naka Biolife Sdn. Bhd., (mengendali makmal diagnosis) dan Ayam Bismi Food Sdn. Bhd.(pemprosesan produk hiliran).

Scroll to Top