Anak petani kini warisi empayar ayam, apa rahsia Hajah Mazlina?

ALOR SETAR: Banyak yang mengatakan bahawa kemiskinan bukan untuk diwarisi.

Kata-kata itu benar dan tokoh korporat Hajah Mazlina Kamarudin merupakan figura yang pernah membesar dalam kehidupan serba kekurangan namun bangkit menempa kejayaan ketika ini.

​“Saya faham erti susah jika orang sebut susah. Kalau kita tidak pernah susah tentu kita tidak dapat mendalami erti susah itu. Allah latih latu saya… jadi kalau orang cakap susah saya faham,” kata penerima anugerah usahawan cemerlang, Agrobank Agropreneur 2018 ini.

Sebagai anak kepada pasangan petani, Allahyarham Kamarudin Mat Hashim dan Allahyarhamah Rokiah Iman dari Kampung Peladang di Perlis, kisah Hajah Mazlina yang merupakan Pengarah Urusan Bismi Empire Sdn. Bhd. ketika kecil amat mengharukan.

​Namun kekurangan kebendaan tidak bererti Hajah Mazlina membesar dengan kurang kasih sayang. Apatah lagi beliau yang menerajui sektor penternakan, pemprosesan dan pengedaran ayam milikan sepenuhnya bumiputera di utara tanah air itu merupakan anak tunggal yang dinanti-nanti ibu bapanya.

​“Saya masih ingat selepas ayah kahwin dengan mak, mereka berpindah ke rumah tok di kampung itu dan duduk di rumah yang tak layak dipanggil rumah. Saya rasai suasana serba daif itu, hidup di rumah ibarat dangau dengan pokok tebu jadi tiang serinya.

​“Ayah bekerja sebagai petani dan ada seekor kerbau. Kerbau itu yang arwah guna untuk mengambil upah membajak sawah. Ayah kuat bekerja terutama selepas saya lahir,” katanya dalam temubual itu.

​Hajah Mazlina mengakui, walaupun menjadi anak tunggal ibu bapanya itu tidak pernah terlalu memanjakannya.

​“Mereka menatang saya bagaikan minyak yang penuh tetapi pada masa yang sama tidak pernah memanjakan saya,” katanya yang dilahirkan pada 1967.

​Ibu kepada empat cahaya mata ini juga sentiasa mengagumi cara didikan dan asuhan mereka yang sentiasa ingin memastikan beliau mendapat pendidikan terbaik ketika bersekolah mahupun selepas melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Ayah dan mak begitu ambil berat saya yang menjadi kebanggaan saya adalah cara ayah menjaga saya. Jarak sekolah dari rumah dua kilometer, ayah akan kayuh basikal tuanya bawa saya ke sekolah dan saya tak pernah sekali pun lewat sampai ke sekolah.

​“Pagi mak akan kejutkan saya makan pagi… saya ingat lagi Milo cair kerana kita pun susah masa tu kan. Cuma mak nak bagi makanan berkhasiat untuk anak jadi makanlah cucur ka… nasi goreng ka… ketika di sekolah rendah saya jadi Ketua Pegawas mungkin kerana kepimpinan saya,” ceritanya lagi.

​Beliau yang mempunyai hobi memelihara ayam serama di rumah memberitahu, kemiskinan itu juga tidak pernah menghalang usahanya menjejakkan kaki ke menara gading apabila beliau berjaya melanjutkan pengajian ke UiTM, Shah Alam dalam jurusan Kajian Perniagaan dan Pengurusan.

​Selepas tamat sekolah menengah beliau sekali lagi terpaksa berjauhan dengan ibu bapa kesayangannya itu.

​“Bila dapat masuk UiTM di Shah Alam saya berjauhan daripada mereka lagi kerana dulu pun duduk asrama semasa belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Derma di Kangar kerana jauh dari rumah.

​“Saya anak tunggal namun mak dan ayah rela melepaskan saya kerana ingin saya mendapatkan pendidikan terbaik. Saya sentiasa menghargai itu kerana saya tahu mereka sentiasa mendoakan saya,” katanya.

​Sebagai penuntut, Hajah Mazlina menggambarkan kehidupan kampusnya penuh kesederhanaan apabila terpaksa bergantung kepada bantuan daripada pihak UiTM.

Dengan nada sedikit sebak ketika menceritakan itu, katanya, sebagai penuntut daripada kategori miskin beliau merayu mohon bantuan pengajian malah terpaksa bergantung kepada makanan yang disediakan di kampus bagi mengisi perut setiap hari.

​“Nasib baik di UiTM masa tu, mereka sediakan makan. Kita tak ada duit, ayah bagi sebulan RM50, jadi itulah duit yang saya nak beli benda lain untuk belajar. Saya perlu berterima kasih kepada MARA tanpanya orang Melayu tak akan sampai ke tahap lebih tinggi hari ini,” katanya.

Hajah Mazlina menamatkan pengajian pada 1988 sebelum memulakan dunia pekerjaan di Alor Setar sebagai kerani akaun pada 1989. Beliau dan Haji Jaffri Ahmad yang juga merupakan Pengasas Ayam Bismi dan Presiden Bismi Empire Sdn. Bhd. mendirikan rumah tangga pada 1990 sebelum sama-sama berusaha keras membangunkan syarikat tersebut sehingga berjaya sehingga hari ini.

Hajah Mazlina yang gemar melancong memberitahu, di sebalik kejayaannya hari ini beliau mempercayai semua itu termotivasi daripada kesusahan dan kemiskinannya pada zaman lampau. Malah katanya, pembawaannya yang gemar melakukan aktiviti kemasyarakatan untuk membantu orang susah diwarisi daripada arwah bapanya.

​“Sesuatu yang membanggakan saya adalah dapat berbakti kepada kedua-duanya sehingga akhir hayat mereka kerana beberapa tahun lepas kahwin saya bawa mereka duduk dengan kami sekeluarga.

​“Ayah meninggal dunia pada Januari 2016 kerana kanser paru-paru dan mak pada September tahun sama kerana kanser rahim. Saya tidak dapat nafikan ayah yang banyak membentuk diri saya kerana dia juga seorang yang suka menolong orang susah,” ceritanya.

Kata Hajah Mazlina, satu kalimat bapanya yang sentiasa tersemat dalam dirinya adalah, “Hidup kita bukan semata-mata tentang diri kita sendiri tetapi tentang orang lain juga.”

Scroll to Top