5 beradik terima rumah zakat, bantuan dermawan

ALOR SETAR: Nasib yang menimpa lima beradik di Tualak Kuala Nerang, Khamis lepas meraih perhatian banyak pihak yang tampil menghulurkan pelbagai bantuan bagi meringankan beban mereka yang kini hilang tempat bergantung.

​Bantuan datang mencurah-curah sejak berita tentang mereka yang tersiar di media sosial Ayam Bismi pada hari berkenaan.

​Lebih mengharukan, remaja berkenaan turut mendapat bantuan rumah daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) yang dijangka siap dalam tempoh beberapa bulan.

​Berita gembira itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZNK sendiri Syeikh Zakaria Othman yang turun padang ke rumah remaja berkenaan di Kampung Pasir Puteh semalam.Menurut beliau yang turut menyampai sumbangan zakat kepada keluarga berkenaan, rumah berkenaan akan dibina di tanah milik keluarga itu. 

​Selain itu, dalam satu kenyataan dalam laman Facebook LZNK dimaklumkan bahawa nasib lima beradik berkenaan turut mendapat perhatian keluarga diraja Kedah, yang mengurniakan sebuah motosikal kepada mereka bagi kegunaan seharian.

​Malah pelbagai bantuan lain turut disumbangkan termasuk daripada ahli politik, syarikat korporat, jabatan kerajaan, badan bukan kerajaan malah individu yang prihatin dan dermawan.

​Khamis lepas, tersiar di laman Facebook ini tentang kisah seorang remaja yang kini terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ibu dan bapa kepada empat adik-beradiknya apabila ibu, Norhashimah Abdul Majid, 43, yang koma setelah terlibat dalam kemalangan meninggal dunia.

​Nurfarra Asyikin Norazmi, 20, dari Kampung Pasir Puteh Tualak dekat ini memberitahu, dia dan adik-beradik reda dengan takdir tersebut walaupun mereka kini sudah hilang tempat bergantung.

​Remaja berkenaan kini terpaksa menyara empat adik beradiknya, Mohd. Hafiq Ridzuan, 18, Nur Anis Amira, 15, Nuraina Amalyna, 12, dan Nurshafinas Fareha, 4, termasuk tiga daripada mereka yang masih bersekolah.

​Kelima mereka kini terpaksa menumpang di rumah bapa saudara yang terletak bersebelahan rumah nenek, Bainun Yasin, 95.

Scroll to Top